Langit mula tampak mendung tanda hujan akan turun lagi. Aku perlu cepat jika tidak kerja aku tidak akan habis. Sudah lama aku menangguhkan kerja aku. Jika aku tidak siapkan hari ini juga bilakah lagi akan siap?
Kerja aku menimbun dan aku perlu siapkan mana yang terdahulu. Aku perlu hantar 2 surat dalam tangan aku ini. Aku berdoa dalam hati agar hujan turun nanti. Biarlah aku sampai dahulu ke destinasi.
Aku turn ke tempat parkir motorsikal melihat sebuah motorsikal kris elok berdiri di satu sudut parkir itu.
Motorsikal Kris itu menjadi peneman aku pada hari ini. Sudah berapa tahun ia bersama aku sepanjang aku mula berada di bumi asing ini. Mencari rezeki untuk meneruskan hidup ini. Ia pemberian daripada ayah aku yang tersayang.
Terlalu banyak lampu isyarat di sini. Setiapnya pasti menyinarkan warna merah semasa aku menghampiri mereka. Ah. Seperti menghalang aku yang sudah lewat ini. Seperti ingin sahaja aku merasai titisan hujan pada badan aku nanti.
Langit bertambah gelap lagi. Hati aku ini mula risau akan keadaan ini. Sempatkah aku menghantar surat-surat ini? Kalau hujan, mungkin esok sahajalah aku hantar surat-surat ini. Satu sudut di hati aku ini mengatakan biarlah hujan. Esok boleh hantar lagi surat ini.
Aku berasa was-was. Adakah aku perlu mengikut sudut hati aku itu atau aku teruskan sahaja. Hari hanyalah mendung sahaja bukannya hujan lagi. Mungkin sempat aku hantar lagi surat-surat ini.
Lampu hijau mula bersinar. Aku terus pecutkan sahaja motorsikal. Biarlah. Nak hujan pun hujan sahajalah. Sekali penetapan telah dibuat, mana mungkin ditarik balik. Hati ini perlu kekal dengan keputusan yang sedia terhasil. Jika tidak, bila lagi kejayaan itu mahu datang kepada aku?
Teringat aku kisah perang Uhud. Nabi telah membuat keputusan untuk berperang di luar Madinah. Walhal pada awalnya beliau ingin berperang di Madinah. Namun atas nasihat para sabahat, perang di Uhud itu lebih baik. Setelah nabi bersiap, datang pula sahabat memberikan cadangan agar berperang sahaja di Madinah. Nabi menolak. Sesudah keputusan itu dibuat, mana mungkin ia ditarik balik.
Aku berpegang dengan kisah itu dalam membuat keputusan ini. Tak kira hujan atau tidak, hantar tepat perlu hantar. Sekali keputusan dibuat, ia perlu dilaksanakan jua.
Akhirnya tiba jua aku di hadapan bangunan ini. Tersemat erat surat permohonan ini di tangan aku. Semoga aku dapat menghantarnya dengan lancar.
"Assalamualaikum. Saya mahu hantar permohonan ini. Ada apa lagi perlu saya tahu?"
Surat itu dibelek-belek pegawai bertugas. "Maaf encik, permohonan ini tidak lengkap. Encik perlukan lagi dokumen seperti ini .. " sambil dia menyelak pada helaian akhir surat permohonan iu. Satu senarai maklumat yang patut aku hantar sekali bersama tercatat di situ. Muka ini menjadi merah. Rupanya aku terlalu tergesa sampai lupa melihat apa yang perlu dihantar sekali.
"Begitu yea. Jadi bilakah tarikh tamat permohonan ini?"
"Sebolehnya hantar secepat mungkin. Memang di sini tulis 12 Ogos tapi untuk kelancaran, lebih baik encik hantar awal. 27 Ogos ini akan keluar senarai mendaftar," jawab lembut pegawai tersebut.
Aduh. Nampaknya aku perlu bergegas lagi. Aku beredar setelah mengucapkan terima kasih atas penerangan pegawai bertugas itu.
1 tugas boleh dikira selesai. Sekarang 1 lagi masih berjalan. Aku perlu menghantar surat pengesahan ini pula. Aku bonceng motosikal aku terus ke pejabat pos berdekatan.
Nampaknya ada 3-4 orang di dalam pejabat pos. Ah biarlah. Aku hanya perlu membeli setem sahaja. Dahulu aku ingat lagi menghantar surat hanya dengan setem 30 sen. Sekarang sebesar mana surat itu, harga setem tetap 80 sen ke atas. Mungkin kerana manusia sekarang lebih suka menghantar kad ucapan selamat hari raya menggunakan SMS. Kurang permintaan membuatkan penghantaran pos rugi, mungkin?
Aku mengambil langkah selamat. Saiz sampul ini hanyalah sebesar satu lipatan kertas A4. Jadi setem RM1 sudah memadai untuk sampul ini tiba kepada penerimanya. Alamatnya di Kuala Lumpur. Mungkin 3-4 hari nanti sampailah ia. Selesai lagi satu masalah aku ini.
Awan masih mendung. Ketika aku hendak membonceng motosikal aku pulang dari pejabat pos, air gerimis terasa di tangan aku. Nampaknya hujan lebat akan turun.
"Alhamdulillah," terpacul rasa syukur di mulut aku ini. Hujan membawa rahmat.
Terus aku pecut untuk pulang. Di saat aku tiba di satu persimpangan memasuki daerah tempat aku tinggal, hujan mula turun rintik-rintik. Semakin aku menghampiri rumah, semakin terasa lebat hujan yang turun ini.
Hati aku mula gundah gulana. Perlukah aku berhenti seketika tunggu hujan reda, atau aku teruskan sahaja perjalanan... Aku mengambil keputusan untuk teruskan juga perjalanan. Aku berhenti di tepian jalan menyelimut diri aku dengan baju hujan yang sentiasa aku simpan di raga motorsikal kris ini.
Hujan lebat. Sungguh lebat. Habis basah separuh kaki ketika aku berhenti di bawah kuarters. Baju aku kekal kering dengan sedikit sahaja air sempat singgah ke badan aku. Baju hujan ini telah menjalankan tugasnya dengan baik.
Sebaik sahaja aku melabuhkan punggung di atas kerusi, hujan seperti sudah berhenti. Tidak lagi lebat seperti seketika tadi. Aduh. Jikalau lah aku berhenti seketika, pasti tidak perlu aku mengalami kebasahan ini.
Hujan itu turun, kemudian ia berhenti seperti sedang mendidik aku sesuatu.
Aku mengerti.
Hati bersyukur kerana tiba di rumah dengan selamatnya. Kerja aku masih bertimbun lagi. Aku perlu laksanakan cepat agar ia tidak memakan diri aku nanti.
0 comments:
Catat Ulasan