Isnin, 22 Julai 2013

Lelaki Tua Kampungan

Seorang lelaki tua turun dari bas buruk di sebuah stesen bas di sebuah kampung. Dia membibit sepasang beg. Perlahan-lahan dia memandang sekelilingnya. Bas berlalu meninggalkannya keseorang di situ.

Dia melambai-lambai ke arah bas tanda terima kasih kerana sanggup berhenti di situ.

Di perhentian bas ini hanyalah ada sebuah bangku kayu. Muat untuk 4 orang bersaiz kurus sepertinya duduk bersama. Tiada atap. Hanya sebuah kerusi. Ia diteduhi hanya oleh sepohon pokok angsana yang rimbun.

Lelaki tua itu duduk sebentar di atas bangku itu. Dia ingin melepaskan penat ketika berada di dalam bas. Jalan ke sini bukanlah satu jalan yang mudah buatnya. Kalau dahulu ketika dia muda mungkin dia akan terus bergerak menuju ke destinasi sebaik sahaja dia turun dari bas itu dahulu.

Kini tidak. Dia sedar usia memamah tenaganya juga.

Di jalan raya ini kelihatan lengang sahaja. Tiada kenderaan lalu selepas bas itu pergi. Sunyi sepi.

Panas tengah hari mula terasa di sekeliling kawasan itu. Pokok angsana menjalankan fungsinya sebagai teduhan buat yang mencari.

Lelaki itu tersenyum keseorangan. Dia tahu bahawa ini bukanlah kali pertama dia menjejak kaki ke sini. Cuma, jarak masa itu sungguh jauh. Sehingga dia sudah tidak nampak lagi rumah yang ada di kawasan itu.

Suasana kampung kini berubah menjadi tempat jin bertendang. Satu istilah yang menyatakan bahawa tempat itu sudah menjadi hutan.

Proses urbanisasi telah memakan rupa kampung itu. Kalau dahulu dia dapat lihat sekurangnya dua atau tiga buah dengan pandangannya. Kini satu pun tiada.

"Dimanakah rumah Pak Ali, Pak Ahmad, dan Pak Abu?" soal dia sendirian.

Sungguh lama dia tidak datang ke tempat ini sehingga dia sendiri tidak tahu apa yang telah terjadi di sini.

Kampung halamannya dahulu meriah dengan orang, kini hanya menjadi tempat burung membuat sarang.

Semacam perasaan sedih muncul dalam dirinya. Dia tahu penyesalan kini tiada gunanya. Peluang yang dia ada dahulu dia sia-siakan dengan mengabaikan kampungnya.

Dia ada duit. Dia ada kuasa. Namun, dia memilih untuk berhijrah keluar. Dia tak mahu tinggal di tempat ortodoks. Kolot, katanya.

Dia tak ingin melabur usaha dan masanya di sini.

Akhirnya, lihatlah. Kampung yang ada potensi ini dibiarkan kembali menjadi hutan. Kembali menjadi kawasan Pak Belang.

Dia sedih. Namun kesedihannya tidak mampu membawa perubahan.

0 comments:

Catat Ulasan