Selasa, 30 Julai 2013

Di sebalik fantasi

Fantasi cerita memang susah dicipta. Bukanlah aku orangnya untuk bercerita tentang ini. Kisah ini telah lama aku lupakan sejak aku mengalaminya lagi.

Tidak ingin aku menggugah rasa dengan mencari harapan lagi.

Peristiwa ini berlaku nun dahulu lamanya. Ketika itu aku masih lagi berfantasi dengan cerita sang kancil, sang buaya, sang gajah dan Mat Jenin.

Kata ibu Mat Jenin ini bagus orangnya. Diteliti harus angan-angannya untuk menjadi kaya. Bukanlah dia tidak berjaya kerana terjatuh dari atas pokok kelapa. Hanya itu sahaja ramai mengata dia itu pembawa malang nestapa.

Aku diam. Ibu bercerita lagi.

Bunian ini bukanlah orang apa-apa. Mereka hidup di alam sebalik kita. Kalau tak diapa-apa jangan kita risau tentang mereka.

Pernah juga aku tanya siapakah si perempuan cantik berkepak seperti rama-rama itu di peti televisyen. Ibu kata itu adalah watak dongeng si parr-pari si penjajah.

Wataknya manis mencipta angan-angan palsu. Tidak harus langsung dijadikan ikutan buat aku.

Siapakah pula yang bertelinga runcing itu, ibu? tanya aku.

Itulah bunian di negara Eropah.

Mereka sama dengan bunian di Tanah Melayu ini. Cuma bunian kita tak mahu dikomersialkan seperti bunian di Eropah itu.

Oh. Aku mengangguk faham.

Adakah pelangi itu membawa duit? Aku lihat ada si genit toyol bertopi hijau turun meluncur turun dari pelangi itu.

Ibu menjawab juga. Si genit itu saudara toyol. Dia menyimpan harta di sebalik pelangi dek kerana rakus tak mahu berkongsi harta dengan yang lain.

Adakah dunia lain juga menggunakan emas?

Tidak. Ibu kata mereka hanya suka menyimpan apa yang manusia suka. Mereka ingin membuatkan manusia alpa mencarinya tanpa ada usaha yang sebenar. Itulah muslihat syaitan dan iblis membisik harta kepada manusia.

Kita ini dilahirkan di dunia untuk menanam. Tuaiannya di akhirat kelak. Tambah ibu lagi.

Aku mengerti.

Mudah sungguh ya mereka mencipta kisah fantasi memenuhi imaginasi. Sungguh aku tak sangka apabilaku besar si Santa Gemuk itu hanyalah mainan fantasi si ortodoks Kristian Eropah.

Manakan tidak apabila Chen ketawa apabila aku bertanya dapatkan dia hadiah daripada Santa?

Jauh sungguh cerita imaginasi menyerap masuk melalui media massa.

Aku melihat foto ibu di atas meja ini. Sungguhnya ibu banyak mengajar aku erti di sebalik cerita. Bukanlah cerita itu mengulit mimpi, tetapi di sebalik kisah itu tersiratnya jati diri.

0 comments:

Catat Ulasan