Khamis, 11 Julai 2013

Herba segala demam

Aku memandang lesu gelas di tangan. Terasa sakit sakit badan ini masih ada. Virus yang menyerang hebat menghambat kesihatan aku ini. Jelas aku masih lagi di peringkat yang lemah. Tidak terdaya melawan virus yang menyerang.

Demam. Ia menyerang semua manusia di dunia ini. Ada demam yang boleh menyebabkan pesakitnya meninggal dunia. Aku risau jika aku berada di tahap itu.

Badan aku letih menahan selesema yang kian pekat. Hingus yang keluar bukan lagi cecair kejernihan. Mula kahak berwarna hijau pekat sekali sekala terjelir keluar kala aku batuk.

Tekak aku mula terasa kering. Apa yang aku minum semua serba tidak kena. Ada sahaja terasa sakitnya.

Doktor? Aku sudah muak dengan preskripsi moden mereka. Jelek dengan kata-kata manis akan sihat hanya dengan menelan beberapa tablet bulat putih.

"Kalau demam, banyakkan berehat. Banyakkan minum air masak. Minum juga air asam jawa dan air biji selasih." Pesan ibu terngiang-ngiang di telingaku.

Beberapa minit sahaja selepas aku mengikut nasihat itu badan aku terasa sedikit ringan. Berat kepala terasa ringan. Panas di badan mula surut.

Herba. Betulkah ia berkesan? Selama ini aku hanya percaya kepada ubatan moden. Ubatan tradisional dikategorikan 'fraud' oleh pelaku ubatan moden.

Entah mana yang hendak aku percayakan. Doktor di Pusat Kesihatan hanya tahu bertanya dan terus bertanya. Itu sahajalah yang mereka tahu. Kemudian menggunakan kuasa memberi ubatan berdasarkan pengalaman mereka 'merawat'.

Sukar untuk aku percaya sama mereka lagi.

Gelas di meja mula terasa suam. Air masak. Istilah yang diguna pakai oleh masyarakat Melayu merujuk air paip atau air jernih dimasak sebelum diminum.

Aku masukkan separuh dari ramuan biji selasih yang ada di dalam paket yang aku beli dari kedai Pak Ali tadi.

Jika pagi tadi aku meminum air asam jawa, kini aku ingin pula mencuba biji selasih. Bebiji ini apabila direndam dalam air mula berlendir. Bila dilihat kasar seakan biji telur katak pula.

Seingat aku semasa kecil selalu aku meniup biji ini bercanda bersama rakan-rakan aku. Selalunya dicampur sirap oleh si penjual di tepi jalan di hadapan sekolah.

Rupanya sudah mereka tahu biji selasih ini mampu menyejukkan badan di hari panas. Apatah lagi apabila badan dalam ini panas.

Aku campurkan gula. Tak sanggup minum kosong. Sirap di dapur ini tiada. Bujang katakan.

Aku mencampakkan diri aku ke atas katil. Panas badan aku mula surut. Alhamdulillah. Petua herba orang dahulu jangan dibuat main.

0 comments:

Catat Ulasan