Selasa, 9 Julai 2013

Mengejar Bola yang Satu

Berlarian anak kecil. Mengejar bola yang satu. Tujuh orang kesemuanya di hadapan surau. Asyik bermain selepas jemaah surau pulang dari menunaikan solat Asar.

Ajib bangun setelah jatuh menepis bola dari memasuki tiang gol yang hanya diletakkan capalnya. Dia yang memulakan aktiviti bersukan di sini.

Teringin sangat dia bermain bola di petang hari. Di kawasan kuarters ini tidak ada ruang luas untuk mereka bermain bola. Kalau di sekolah, mereka ada padang untuk bermain sepuasnya. Tetapi di Persint 15 ini langsung tiada padang disediakan. Apatah lagi yang ada hanyalah sebuah sekolah swasta.

Manakan mereka ada peluang untuk bermain di sana.

Ajib yang selalu pergi ke surau mendapat idea bermain bola di hadapan surau. Kawasannya tidak luas tetapi boleh menjadi tempat mereka melepaskan lelah. Walaupun di atas marmar merah yang ada.

Kadang kadang ada pak cik yang menegur. Mereka hanya diam menangguk. Tanda faham dan mengerti. Namun, ia bagaikan masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri sahaja.

Esoknya mereka akan sambung aktiviti begini. Tepat jam 5.30 petang. Haru biru sorakan mereka menendang dan mengejar bola yang satu.

Ajib sebagai ketua pasukan bola mengarah itu dan ini agar sepakan mereka masuk ke dalam ruang gol buatan.

Ah. Penangan yang kuat sahaja mampu membolos tepisan Ahmad.

Itulah keadaan bagi anak-anak di Persint 15-12B ini.

Ada juga ruang untuk bersukan tetapi hanyalah sesuai buat dewasa. Badminton di dewan serbaguna. Bola tampar di ruang antara blok B2 dan A3. Terus bagaimana pula dengan bola sepak? Bukankah itu menjadi budaya sukan di Malaysia?

Lagipun dengan bola sepak atau futsal ramai pemain boleh turut serta. Jikalau badminton, hanya terhad sehingga 4 pemain sahaja. Lagi, manakah mereka ingin mendapatkan raket secara percuma untuk dipinjam sementara?

Di petang hari itu, terus mereka bermain. Sekali sekala datang juga pak cik yang menegur. Dia juga mengerti tetapi menjadi tanggungjawabnya memberi nasihat agar mereka berhati-hati bermain di kawasan itu. Kawasannya licin. Tidak sesuai untuk bermain bola ataupun apa-apa sukan.

"Saya ada cadangan, kalau Pak Ali sudi mendengar," kata Ajib apabila kali ke-4 Pak Ali datang menemui mereka.

"Silakan," kata Pak Ali pula.

"Saya lihat nun di hujung taman ini ada padang kosong yang tak terjaga. Saya lihat hanyalah lalang sahaja tumbuh. Apa kata Pak Ali usulkan tempat itu buat kami, si kanak-kanak bermain?" cadang Ajib.

Pak Ali hanya mengangguk. Rupanya di sebalik bermain Ajib telah lama memikirkan penyelesaian kepada masalah yang muncul.

"Tidak pula saya perasan tentang itu. Insya-Allah saya akan usulkan kepada pihak berkenaan. Sementara itu kamu semua jangan terlalu ghairah bermain di sini. Bahaya." Berlalu pergi Pak Ali.

Sebulan telah berlalu. Terdapat pengumuman di papan kenyataan di setiap blok di taman itu.

Ia berbunyi,

"Akan diadakan gotong-royong membersihkan kawasan lapang di hadapan blok A3. Ia adalah untuk menjadikannya sebagai padang permainan buat anak-anak di sini. Diharapkan semua penduduk dapat turun bersama melakukan amal jariah ini."

Ajib yang terbaca surat kenyataan itu melonjak gembira. Rupanya cadangan dia betul diambil serius oleh Pak Ali.

Akhirnya kanak-kanak di taman itu tidak perlu lagi risau dimarahi bermain di hadapan surau. Mereka kini boleh bergembira bermain di nun taman itu.

0 comments:

Catat Ulasan