Ahad, 28 Julai 2013

Bahasa Jiwang Bangsa

Bahasa. Ia membentuk kata. Ia membentuk komunikasi. Terlalu banyak bahasa, terlalu banyak manusia.

Adakah bahasa mampu menyatukan bangsa? Selalu aku tertanya tentang ini. Sebagai pelajar jurusan sastera bukanlah minat aku kepada bahasa. Aku hanya seorang pelampir bahasa. Tersekat dengan impian yang tak terkata.

Mungkin aku sesuai menjadi petapa. Melihat nestapa yang melata. Oh sungguh rumit hidup ini.

Lai Chin memandang aku. Kami duduk berdua di hadapan fakulti di meja batu. Dua tiga kereta berlalu. Angin menderu. Aku terkedu.

"Saya memang meminati bahasa Melayu. Kamu kenal Dr. Lim Swee Tim? Dia idola saya tau," kata Lai Chin.

Bijak pelajar Cina ini. Jarang sekali aku dapat mengenali kaum Tiong Hua ini secara dekat. Apatah lagi aku hanya bersekolah kebangsaan dari sekolah rendah sampailah menengah. Tingkatan 6 pula semuanya sebangsa dengan aku.

Beberapa buku Sastera penulisan bertimbun di atas meja batu ini. Kami sedang mengemaskini tugasan yang diberi. Aku secara kebetulan dipasangkan dengan Lai Chin, seorang gadis molek dari Kelantan. Atau ianya takdir? Entahlah. Aku masih mencari hikmah di sebalik peristiwa ini.

"Baiklah Azri. Saya ada kelas pada pukul 5 petang ini di dewan kuliah ekologi. Bahagian biografi penulis Nisah Haron ini kamu boleh selesaikan. Nanti kita bincang lagi."

Aku hanya mengangguk. Dia melambai tangan sambil menuju ke arah tempat menunggu bas di bawah pohon Hujan. Manis sungguh senyumannya itu.

Aku kembali melihat kertas-kertas yang telah kami conteng. "Mencari erti Sastera Fiksyen Fantasi." tertera di hadapan sekali.

Melalui pembacaan kami, setakat ini Nisah Haron penulis yang menopoli penulisan fantasi ketika beliau masih muda. Sekarang jika aku masih ingat, umurnya sudah mencecah 40-an.

Definasi belia di hujung umur menepati kesnya.

Aku menyusun kertas-kertas yang ada ini. Walaupun jurusan ini bukanlah minat aku, tetapi tidak bermakna aku tidak boleh masuk bersama mereka.

Ramai lagi kawan sejurusan aku kecundang. Berhenti di pertengahan jalan dek kerana mendapat tawaran kerja.

"Aku fikir lebih baik bekerja. STPM aku sudah mampu membawa aku ke sini. Kerja itu lebih penting," kata Helmi.

Aku diam. Antara ilmu dan pekerjaan, aku akan pilih ilmu dahulu.

Telah dididik oleh ibu sejak kecil lagi bahawa ilmu itu penerang hati. Ilmu itu pelita hidup.

Entah mengapa itulah yang aku percaya. Dan itu akan aku teruskan dengan menghabiskan jurusan ini.

0 comments:

Catat Ulasan