Rabu, 24 Julai 2013

Lif rosak

Azlina berlari-lari anak menuju ke lif aras bawah apartmentnya. Dia telah terlewat pergi ke kerja. Maria yang berumur 10 bulan dikendungnya. Dia perlu menghantar Maria ke rumah penjaganya di tingkat 4.


Ting. Pintu lif terbuka. Dia masuk. Butang 4 ditekan.

Sedang lif naik, tiba-tiba ia berhenti. Lampu tertutup. Suasana menjadi gelap. Azlina panik. Maria mula menangis. Adakah lif rosak?

Azlina dengan sifat keibuannya mengetuk pintu lif memohon pertolongan. Dia menjerit dan terus menjerit. Namun seperti jeritannya itu sia-sia sahaja.

Tangannya sakit mengetuk pintu lif. Hampir 10 minit kemudian lif bercahaya semula. Terus dia menekan buka. Keluar pergi pintu tangga. Dia takut jika lif rosak lagi.

Kakinya kini menuju pula ke pejabat pengurusan apartmentnya. Dia ingin membuat aduan.

Pintu diketuk. Tiada siapa yang menjawab. Dia terus sahaja masuk ke dalam pejabat.

"Assalamualaikum. Dik, saya nak buat laporan."

Dua orang gadis berada di dalam pejabat. Semuanya seperti tidak melayannya langsung. Hatinya mula panas. Adakah ini pengurusan yang bagus?

Azlina mula mengomel. Dua orang gadis itu tetap tidak melayannya. Azlina mengetap giginya.

Maria di pangku lengannya mula menangis kembali. "Sabar sayang. Ibu hantar ke Mak Jah dulu ya."

Selepas sahaja menghantar Maria, Azlina kembali ke pejabat pengurusan.

Dia tidak berlembut lagi. Dia mahukan penjelasan.

"Adik, supervisor sini siapa hah?" jerkah Azlina.

Seorang lelaki muda termengkelan mendengarnya.

"Ya kak. Ada apa boleh saya bantu? Saya Azmi, antara penyelia di sini."

"Ni, akak tadi terperangkap dalam lif. Lepas tu datang sini buat report tiada siapa layan. Apa ni?"

"Sebenarnya ada notis kami tampal. Ada penyelenggaran dibuat waktu ini kak."

"Habis kau ingat aku ada masa nak baca notis itu? Kenapa tak letak papan di lif?"

"Kami ada satu sahaja kak papan penghalang."

"Tampal notis di setiap lif tak boleh ke?"

Azmi diam. Suasana tegang ini patut dikendalikan dengan baik.

"Kami minta maaf kak. Lain kali kami akan buat seperti apa kak cadangkan."

"Yelah tu. Saya datang awal tadi tiada siapa pun layan. Sekarang baru nak minta maaf? Yela. Lihatlah nanti."

Azlina berlalu begitu sahaja. Hatinya masih panas. Terus dia menaip situasi ini di laman Facebooknya. Meminta pandangan rakan-rakan yang lain.

Dia ingin memberi pengajaran buat kontraktor yang tidak bertanggungjawab ini. Dia perlu membalas dendam!

Namun, tidakkah dia tahu perbuatannya itu juga tidak baik?

0 comments:

Catat Ulasan