Kakiku melangkah masuk ke ruang legar perpustakaan. Sudah masanya aku bergiat aktif dalam dunia penulisan. Selama ini aku hanya menjadi penulis yang bermain-main. Aku ibarat abid. Yang pandai menyimpan penulisan hanya untuk diri aku sendiri. Tidak pula ingin menyebarkannya kepada orang lain.
Suasana sunyi sepi menyambut aku di sini. Terasa angin penghawa dingin meniup pada kulit lenganku. Aku terlupa untuk membawa jaket sejuk aku.
Bisikan hati mengatakan bukan hari ini kamu menulis. Tertinggal jaket di bilik itu tandanya kamu perlu balik ke asrama. Sini bukanlah tempat sesuai menulis. Sejuk.
Sungguh kuat bisikan itu sehinggakan mampu mempengaruhi aku untuk berfikir kembali niat aku datang ke sini.
Sedang aku berkira untuk berpatah balik, dari jauh kedengaran orang memanggil aku. Pintu automatik perpustakaan terbuka.
"Arif! Hei mengapa ada di sini? Jarang saya lihat kamu di sini," sapa Aisyah.
Ah hati aku mula berdegup pantas. Dahulu aku selalu belajar bersama dengannya di perpustakaan. Itupun pada semester lepas semasa kami mengambil subjek statistik bersama. Dia hebat dalam ilmu mengira manakala aku pula hebat dalam penulisan sastera.
Kami berkongsi ilmu bersama.
"Er, tak ada lah. Saya ingin menulis di sini."
Muka Aisyah kehairanan. Cepat-cepat aku membetulkan kata, "Er, maksud saya, saya datang untuk menulis cerpen. Ada tugasan yang diberikan oleh pensyarah."
Aisyah tersenyum. "Jika begitu marilah duduk bersama saya. Sejak pagi tadi saya keseorangan sahaja di sini."
Aku hanya mengangguk. Hati aku masih berdegup kencang. Perasaan ini bermula apabila kami mula rapat di hujung semester. Kawan-kawan aku di asrama selalu sahaja memerli aku keluar dengan awek kah.
"Kami hanya kawan sahajalah." Cubaan aku menidakkan kenyataan mereka.
Biasalah. Apabila nampak sahaja dua orang berdua-duaan di kafe, pasti sahaja ada yang mengata mereka itu pasangan. Peliknya tidak pula mereka menegur salah. Ah biarlah. Itu sudah menjadi norma masyarakat mencemuh apabila hal seterusnya berlaku. Tidak pula mereka ingin menegur kala mereka ada kesempatan.
Jika ada pun, teguran itu sentiasa dengan sulaman herdikan.
Kami duduk di meja aras 1 perpustakaan.
"Sama seperti dahulu ye. Kita berdua selalu duduk di sini belajar sama-sama."
Senyuman Aisyah mempersonakan. Ia bagai kuntum bunga mawar yang mekar. Aku tersenyum sipu. Masih tidak tahu hendak membalasnya dengan apa.
Jika dahulu ada jugalah isi yang boleh kami bincangkan. Hampir semuanya tentang statistik dan penulisan sastera. Di sini, pelajar diwajibkan mengambil mata pelajaran sastera.
Bagi aku mahasiswa jurusan sastera bahasa Melayu, perkara itu enteng sahaja. Ramai berkata yang masuk jurusan ini hanya lah pilihan terakhir. Namun tidak bagi aku.
Aku memang meminati sastera. Pilihan aku tepat. Lagipun aku telah melakuan solat sunat istikharah memohon petunjuk daripada-Nya. Maka jawapan-Nya tentulah tepat. Dan aku begitu yakin dengan itu.
Aku mengeluarkan pen dan kertas. Aku mula menulis. Entah mengapa duduk semeja dengan Aisyah membuatkan tangan aku ligat menulis. Entah mengapa juga senang sahaja aku menulis cerita cinta.
Aisyah dengan jilbab biru, berbaju kurung putih itu nampak menawan hari ini. Aku curi-curi seketika memandangnya. Aku tidak mahu menenung lama. Takut nanti situasi menjadi lain.
Mungkin, inikah dinamakan cinta? Entahlah. Aku tidak pernah bercinta sepanjang dua dekad aku hidup. Selama ini aku hanya bersekolah di sekolah asrama lelaki. Jarang bergaul dengan wanita. Keluarga aku pun hanya ibu seorang sahaja wanita yang aku rapat.
Aisyah pula orang kedua aku rapat selepas ibu.
Moga kami berdua ada jodoh. Tangan aku menamatkan cerpen di sini.
0 comments:
Catat Ulasan