kredit: Majalah Sains |
Turun dia ke bawah celahan semak samun. Di tangan kirinya tersemat sebuah bakul berisi daun-daun herba.
Dia sampai di sebuah rumah kayu. Bau tengit buah pala disambutnya dengan senyuman. "Sudah masak herbaku," bisiknya keseorangan.
Zuhal duduk terlentang di balik bilik itu. Dia sudah tidak berdaya lagi untuk bangun. Penyakit yang dihadapinya terus memamah tenaganya. Dia lemah. Dia tidak mampu untuk bangun sendiri.
Masuk nenek tua itu ke dalam bilik. "Kau duduk sahaja. Nek sudah jumpa ubat kepada penyakit kau."
Zuhal mengangguk lesu. Di bumi Atoshri ini hanya dukun menguasai ilmu herba. Penyakit yang dihadapi Zuhal jelas bukanlah penyakit biasa.
Dia telah berlawan dengan kaum Raksa Alun. Satu kaum berupa cicak yang saban tahun menyerang bumi subur Atoshri. Mereka ingin mencuri rahsia ramuan herba Mistes. Hanya kaum manusia sahaja tahu membuatnya.
Tetapi mereka tidak tahu pada keturunan siapakah yang betul menyimpan rahsia itu.
Badan Zuhal ditegak menyandar ke dinding katil. Mangkuk berisi cecair hijau dilekatkan ke bibirnya. "Minum sampai habis. Jangan kau ludahkan walau setitik."
Terasa kelat dan pahit meresap masuk mulut Zuhal. Ingin sahaja dia memuntahkan cecair itu. Namun, pesanan Nek Mel dipatuhinya.
Zuhal dibaringkan kembali. Matanya mula lesu. Terasa berat setelah meminum cecair itu.
Nek Mel kembali ke dapur kayunya. Mengemaskini ramuan terbarunya itu.
Pintu rumah itu diketuk. Seorang wanita berpakaian ala-ala puteri Cinderella masuk menemui Nek Mel. Mereka berbual sebentar. Wanita itu lalu masuk pula ke bilik Zuhal.
Dia memandang kasihan. Kekasihnya terdampar di atas katil dek kerana ingin melindunginya.
Ketika Raksa Alun menyerang ibu kota Atoshri, puteri Ai Ling berada di barisan belakang. Mengubati pahlawan yang cedera. Dia yang bertugas sebagai ketua jururawat medan tidak lokek melayan pesakitnya.
Sebagai ketua pasukan tugasnya bukan sahaja mengarah agar jururawat merawat, tetapi dia turut serta merawat. Telah disisipkan setiap ahli jururawat dengan beg herba.
Beberapa mantera khas dibaca agar keberkesanan herba lebih mujarab.
Ketika dia asyik merawat seorang pahlawan di celahan serangan itu, terlepas seekor Raksa Alun ingin membidasnya. Ketika itu jugalah Zuhal yang ternampak akan itu terus menolak Puteri Zen ke tepi. Terus Zuhal terkena tusukan pedang Raksa Alun itu.
Makhluk itu cuba mencucuk lagi namun tindakan pantas pasukan menembak berjaya menjatuhkannya menyembah bumi tidak berdaya.
"Jangan kau risau. Dia akan pulih. Aku baru sahaja menjumpai ramuan itu."
Puteri Zen hanya mengangguk perlahan.
0 comments:
Catat Ulasan