Ahad, 21 Julai 2013

Cikgu Penyayang

"Cikgu! Cikgu!" Kedengaran dari jauh memanggil aku. Aku diam sebentar mencari di mana datang arah suara itu.

Seorang budak lelaki kepenatan di hadapan aku. Rupanya Ahmad memanggil aku.

"Cikgu lupa ambil hadiah saya." Terikat kemas sebungkus kertas surat khabar di tangannya.

"Apa ini?" soal aku dingin. Aku ingin lekas pulang ke rumah. Lagipun waktu sekolah telah selesai. Bukan masa untuk aku melayan kerenah murid di sini.

"Hanya hadiah sempena hari Guru," katanya sambil menahan nafas. Masih kepenatan agaknya.

Aku mengambil dingin. Di bilik guru masih ada banyak lagi hadiah pemberian murid-murid sekolah ini. Rimas aku melayannya.

Namun, aku lihat Ahmad masih tersenyum sipu di hadapanku. Aku membalas dengan senyuman kelat.

"Nanti cikgu buka di rumah."

Ahmad mengangguk tanda mengerti. Dia melambai tangan tatkala aku berlalu pergi. Aku hanya mengangkat tangan kanan mengisyaratkan bahawa aku menerima lambaiannya itu.

Sebaik sahaja sampai di rumah aku merebahkan diri ke atas katil. Aku penat.

Kerjaya sebagai guru ini bukanlah pilihan utama aku. Ini semua gara-gara abah yang kepingin melihat anak sulungnya menjadi seorang guru. Berbakti kepada anak bangsa katanya.

Walhal aku lebih meminati bidang kejuteraan. Aku cemburu melihat rakan sebilik aku belajar tentang enjin, litar, mesin dan rekabentuk.

Aku pula hanya menelaah buku-buku psikologi budak. Ah. Sungguh tidak kena dengan sifat aku.

Namun, aku turuti sahaja hasrat abah itu. Aku tidak mahu menjadi anak yang derhaka. Ibu pula menasihati aku agar turuti sahaja hasrat abah itu.

Jarum jam tepat mengarah 3. Kerjaya guru memang memenatkan aku. Pakaian formal perlu sentiasa dipakai. Waktu pula sibuk melayan kerenah murid-murid.

Nasib baik aku mendapat sekolah di pinggiran bandar. Tidak terlalu hulu seperti di Sarawak atau pun Sabah. Masih lagi aku boleh online Facebook.

Cemburu juga aku melihat rakan-rakan aku yang lain. Ada yang sudah berkerjaya besar. Memandu kereta besar.

0 comments:

Catat Ulasan