Angin bertiup lalu. Rambutnya yang panjang itu terbang mengerbang. Dia sayu melihat wajahnya di permukaan lopak.
Di taman itu dia keseorangan. Melihat senja kian berlabuh. Dia keseorangan. Telah pelbagai cara dia lakukan bagi menghilangkan rasa bersalah ini. Namun, luka yang berdarah pasti meninggalkan parut.
"Maafkan aku Misah. Aku tak tahu," bisiknya keseorangan.
Dia memandang ke langit. Ingin pula dia memohon petunjuk Tuhan. Selama ini hanyalah dirinya sahaja dia percayakan. Apakah ada kuasa ghaib membantunya?
Entah. Dia pun tidak pasti. Hati dia sudah jauh ingin mengenali keajaiban. Terlalu keras dan hitam. Dirinya hanyalah miliknya. Bukan milik siapa. Pencipta? Teori Charles Darwin jelas merasuk fikirannya.
Namun tiada siapa tahu apakah itu nasib. Segala percaturan manusia hanyalah di tahap perancangan. Hasilnya masih yang satu menentukannya.
Alisya tinggal berdua bersama Misah. Mereka berdua bukanlah kenalan masa kecil. Hanya bertemu di tengah kesibukan kota. Mereka berjumpa menyewa rumah yang sama. Mengurangkan beban antara satu sama lain.
Alisya bekerja sebagai pramugari di syarikat penerbangan Udara Ero. Hidupnya bergelumang dengan dunia model. Mekap menjadi bahan utama untuk dia tampak cantik.
Lain pula buat Misah. Kerjanya menjadi misteri. Yang Alisya tahu, seawal 4 pagi sudah kedengaran pintu gril rumah mereka, Misah menghilangkan diri.
Rutin harian mereka menjadi hal yang entah siapa yang tahu. Mereka dengan dunia masing-masing. Sekali sekala Alisya membeli buah tangan dari negara yang dia lewati. Kebanyakannya melekat di peti ais rumah mereka.
Misah tersenyum sendirian setiap kali ingin membuka peti ais. Apabila air sejuk di tangannya, pintu tertutup, dia masih juga tersenyum melihat gambaran-gambaran luar negara jelajahan Alisya.
Baginya, itu sudah membuatkannya gembira. Walaupun begitu, kerjanya masih rahsia buat Alisya.
0 comments:
Catat Ulasan