"Kau ni bodohla Arif," kata Hafiz. Dia bangun duduk di kerusi pula. "Apa yang kau buat ini tidak berbaloi. Kau bersusah payah semata-mata untuk duit seciput itu. Ada lebih baik kau pandang lebih jauh."
Arif terkesima mendengar tempelekan kawannya itu. Dia baru sahaja bercerita tentang projek sarjananya. Impiannya untuk mengarkibkan cerita rakyat Melayu.
Sudah lama dia mencari cerita rakyat. Setiap negeri di Malaysia ini ada kisah rakyatnya. Dari Perlis hinggalah nun di Johor. Dahulu dia hanya mendengar tentang Malim Demang, Awang Hitam, Badang, dan lain-lain. Rupanya ada lebih dari itu.
Cuma ia tidak diarkibkan. Takut nanti hilang kisahnya ditelan zaman. Lalu dia mengambil inisiatif mencari dan menulis cerita yang didengarinya itu buat bacaan umum nanti.
Niatnya hanya ingin mengumpul cerita rakyat agar tidak hilang ditelan zaman. Itu sahaja. Tiada impian yang lebih.
"Sebab itu aku kata kau bodoh. Kau tahu tak aku belajar di Australia ini hampir setiap hari menonton cerita rakyat orang Asli sana?"
"Maksud kau?"
"Kau boleh kembangkan lagi cerita rakyat kau ini menjadi filem dan drama. Jadikan ia terkenal. Taklah ia terperuk di rak universiti kau sahaja."
Terus Arif mendiamkan diri seribu makna. Tidak pernah dia terfikir untuk mempromosikan sehingga begitu sekali.
"Bukan ke kau dulu minat sangat cerita Bawang Putih Bawang Merah versi Indonesia? Bukankah itu cerita rakyat juga?"
Seakan ada sebuah mentol bercahaya di kepala Arif. Rupanya dia boleh pergi lebih jauh dalam mempromosikan cerita rakyat.
"Hah. Yang kau kata Sang Kelembai di tiga buah negeri iaitu Kedah, Perak dan Pahang. Itu pun sudah menarik untuk difilemkan. Trilogi Sang Kelembai Menjelajah Dunia."
Minda Arif terus terbuka luas memikirkan peluang yang muncul. Kawannya ini sedang belajar di Australia dalam jurusan aeroangkasa di Universiti Adele. Ingin berjumpa Arif yang sudah lama tidak ketemuan sejak mereka berpisah di tingkatan 5.
Lalu apabila sedang bersembang Arif bercerita tentang projek sarjananya itu. Hafiz tersenyum mendengar celoteh Arif. Dia masak benar dengan perangai Arif.
Ideanya sentiasa melimpah ruah tetapi tidak sama dengan tindakannya itu. Sikit.
Katanya siki sikit lama jadi bukit. Tetapi sama sekarang tak nampak bukitnya. Hafiz sudah mendengar idea seperti ini sejak mereka berpisah dari tingkatan 5.
Arif pula sambung belajar ke tingkatan 6 di sekolah yang sama. Kemudian dia melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia dalam bidang kesusasteraan.
Hafiz tahu Arif ini ada kemahuan dalam menulis tetapi tahap keyakinannya sangat kurang.
Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menempelak sahaja impian Arif itu. Sudah tidak tahan telinganya mendengar kata itu dan ini. Namun keputusannya jelas tiada.
"Sudah. Jangan selepas ini aku dengar idea lain daripada kau pula. Siapkan dahulu idea lama kau itu baru kita bersembang lagi," kata Hafiz di hujung pertemuan mereka.
Mereka saling melambai tangan.
Arif tidak ambil masa lama untuk terus menulis di meja belajarnya tentang projek barunya itu. Kali ini dia nekad untuk mencari wang dengan menulis.
0 comments:
Catat Ulasan