Ahad, 27 Oktober 2013

Rimbunan Syurga

Bayu angin meniup sepi
Aku bersendirian di katil ini
Melihat jua apa yang pergi
Apakah ini tanda kesedihan yang pasti?

Aku melihat sedih apa yang di hadapan
Tiada apa yang dapat aku selimuti

Hati ini tiada lagi tawa dan sedih
Hanya sepi datang

Dimanakah ertinya ukhwah?
Aku tetap memandang sepi

Di situlah aku
Di sinilah kamu

Siapa lagi yang ingin menaut kasih?

Khamis, 3 Oktober 2013

Menulis Harian

Perkara utama untuk menjadi seorang penulis hebat adalah dengan menulis setiap hari. Jadikan penulisan itu sebagai hembusan nafas hidup kita. Itulah yang aku dapat apabila membaca banyak buku teknik penulisan.

Ramai penulis menyatakan bahawa untuk menjadi seorang penulis prolifik, perkara pertama yang patut difokuskan adalah latihan menulis. Ini sama seperti kita melihat seorang atlet berjaya menjadi atlet yang gah. Contohnya Usain Bolt. Beliau berlatih setiap hari untuk berlari selaju itu.

Lalu, bagaimana pula dengan penulis? Mungkin ada yang berkata menulis itu mudah. Heh. Aku hanya mampu tergelak. Jika begitu mengapa yang berkata itu langsung tidak mampu menulis?

Aku telah berblog selama hampir 2 tahun. Namun apa yang aku dapat tulis? Pelik tetapi benar.

Apabila aku mendengar kembali apa yang Jeff Goin ceritakan tentang kisah hidupnya, aku terkesima. Dia sudah 7 tahun menulis, tetapi hanya selepas 5 tahun menulis barulah dia menjadi seorang penulis betul.

Selama ini dia hanya menjadi seorang penulis aspirasi.

Aku tertarik dengan katanya bahawa dia selalu ingin tahu apakah rahsia penulis hebat.

Kamu hanya perlu menulis setiap hari.

Ya, ya. Boleh saya tahu rahsia sebenarnya?

Dan dia sudah mendapat jawapannya, tetapi dia tidak yakin dengan jawapan itu. Menulis setiap hari.

Kemudian satu perbualan di antara dia dengan rakannya memecahkan kebuntuan pemikirannya. Apabila rakannya bertanya, "Jeff, apakah impian kamu?"

Setelah berfikir agak mendalam Jeff menjawab, "Saya rasa ingin menjadi penulis."

"Jadi, kamu memang seorang penulis."

"Tapi..."

"Kamu hanya perlu menulis." Senyum rakannya itu sambil menepuk bahunya.

Bagaikan percikan bunga api muncul di kepala otak Jeff, dia terus berfikir ada betulnya apa yang kawannya katakan itu.

Akhirnya, dalam beberapa proses, dia menjadi seorang penulis.

Aku terfikir juga, bagaimana dengan aku ini? Sudah lah hanya tahu merungut. Bukan apa. Kelemahan aku sekarang adalah dari segi pengurusan masa dan kerja aku.

Aku tidak menumpukan mana yang penting dahulu dan mana yang kurang penting kemudiannya.

Tetapi latihan penulisan setiap hari memang aku lakukan. Kini aku nak upgrade diri aku pula. Kalau dahulu aku menulis di malam hari, kali ini aku mahu menulis di waktu pagi.

Setiap hari. Tepat jam 8 pagi setiap hari aku mesti menulis selama 2 jam tanpa henti. Wooo! Biar betul! Ya. Aku serius!

Blog karya ini juga akan termasuk di dalam senarai penulisan aku. Berusaha!

Sabtu, 31 Ogos 2013

Kucing Jalanan

Di sudut itu lihatnya seorang lelaki. Memangku kakinya duduk seperti seorang ketakutan. Hidupnya sudah tidak seperti yang dia sangka. Cuaca musim sejuk menekam terus hingga ke keting tulangnya. Semua tulangnya bukan setakat tulang tulang.

Dia terus memandang bawah. Tidak sanggup melihat kepala-kepala yang lalu-lalang di situ. Lagipun sesiapa yang lalu-lalang di situ seperti sudah biasa dengan suasana pengemis. Mereka anggap sahaja lelaki itu seperti pengemis lain. Hanya mengemis mahukan wang.

Nun jauh di sudut cerita, mereka tidak tahu bahawa lelaki itu sebenarnya adalah seorang yang pernah berkuasa di negara mereka. Seorang yang telah mereka turuti tanpa sebarang alasan. Hebat sungguh lelaki itu tetapi mengapa dia hanya memakai baju selekeh dengan seluar panjang koyak di lutut seperti pengemis lain? Duduk di jalanan tidak langsung memandang rupa pejalan kaki di sini?

Pelik. Sungguh pelik. Jika lelaki itu memandang sekeliling pun tiada siapa akan kenal siapa dirinya dahulu. Dia sendiri telah lesu untuk mencari dirinya kembali.

Setelah dijatuhkan oleh kroni-kroninya sendiri dia tewas. Pembelotan mereka telah berlansung sejak di menaiki takhta sebagai pemerintah lagi. Dia terlalu sombong untuk menyedarinya. Kekayaan terus menenggalamkan hatinya untuk berwaspada kepada persekitaran.

"Ya Dato'." Itu sahajalah yang dia inginkan. Lain daripada itu pasti mendengar hamburan keras keluar dari mulutnya.

Sedang dia memandang itu, seekor kucing datang mendekatinya. Kucing itu berwarna jingga. Ia juga ksejukan dan ingin mencari perlindungan haba buat dirinya.

Lelaki itu menolaknya ke tepi. Dia menghalau dengan menolak dengan kakinya. Tetapi kucing jingga itu terus menerus datang sambil mengiau memohon belas kasihan.

Akhirnya lelaki itu biarkan sahaja kucing itu duduk masuk ke bawah celah kangkangnya. Mendapat sedikit haba dari badan lelaki itu.

Pur pur. Bunyi kucing jingga itu tidur.

Kucing yang sekecil ini pun boleh tersenyum gembira, fikir lelaki itu. Di sebalik cuaca sejuk ini dia masih lagi boleh percaya kepada aku.

Titisan air mata lelaki itu membangkitkan kucing itu. Meow? Kucing itu memandang lelaki itu. Jangan bersedih, saya kan ada? Seperti itu kucing itu berkata kepadanya.

Terukir senyuman di bibir lelaki itu. Benar. Aku akan jadikan kau sahabatku.

Kepala kucing itu diusap. Kucing itu memejam matanya tanda setuju..

Rabu, 28 Ogos 2013

Serangan machine gun

Aku diam sahaja. Aku tahu jika aku membuka mulut di saat ini pasti Fatimah akan membalas dengan pelbagai leteran lagi. Aku terus terang tak suka mendengarnya.

Aku sebagai ketua patut tahu apa aku buat. Aku buat semua ini bukan sahaja sahaja. Aku buat kerana ada sebab. Masakan tidak. Tulisan yang mereka hantar tidak sedap langsung untuk dibaca. Langsung tidak melambangkan apa-apa.

"Tetapi tugas kamu hanya membetulkan mana yang patut!" terus dia berleter.

Aku hanya mengangguk diam. Tetap tidak mahu berkata apa.

Tugas editor ini bukan mudah. Itulah aku namakan dilema editor. Penulis banyak berfikir mereka ini seratus peratus tepat. Semua yang mereka buat betul sahaja. Semua yang mereka tulis ada benarnya.

Tetapi mereka lupa sesuatu, aku pula yang perlu sunting tulisan mereka tahu ke mana tulisan ini akan pergi. Lagipun desgin yang Fatimah reka tidak pun aku ubah 100%. Aku hanya mengubah isi dan bentuk tulisan.

Nak aku komen? Ya aku boleh sahaja komen isi-isinya tidak menepati cita rasa aku sebagai penulis. Apatah lagi tiada format yang betul. Kejap huruf besar. Kemudian huruf kecil. Tak bertempat penulisannya. Ini bukan esei kanak-kanak. Kita perlu tampak profesional.

Aku suka cara dia berterus-terang. Tetapi bagi aku, berterus-terang ada adabnya. Bukan pakai main terjah sahaja. Jika tak, boleh rosak sesuatu organisasi.

Macam aku. Jika aku tak puas hati, memang ikutkan hati terus terang sahaja aku kata Fatimah ini terlalu sibuk membuat perkara yang tak perlu. Lagi, suka mengarah itu ini. Bagi aku dia tidak ada adab dalam menghormati orang atasannya.

Oh. Ini juga buat aku faham bagaimana orang atas rasa jika kita terlalu menekan mereka. Hei. Perlu ingat juga orang atas ada ego. Dan itulah yang aku rasakan sekarang. Ego seorang pemimpin.

Aku menarik nafas sedalamnya. Aku hanya mampu melemparkan senyuman manis kepada Fatimah. Dia masih lagi dengan muka marahnya itu.

Ah. Kelihatan manis pula si dia ini. Terus aku memandang ke arah Leman pula yang sedang sibuk menulis apa entah aku pun tak tahu. Leman tersengih apabila memandang aku.

Aisyah dan Sakinah hanya mengangguk seakan setuju dengan tembakan Fatimah.

Aku tetap diam. Aku ada rasionalnya bertindak begitu.

SMS yang aku terima pun aku tidak balas. Aku terpaksa buat begitu. Jika aku terus melawan aku takut, hati aku ini jatuh pula.

Itu sudah membawa ke arah lain pula. Lebih baik aku diamkan sahaja. Terus, aku malas bicara panjang.

"Ya saya faham. Saya minta maaf. Belajar berlapang dada boleh? Saya sebagai seorang editor atas melakukan apa yang terbaik. Lagipun masa kita terhad. Jika nak tunggu penukaran itu dan ini, memakan masa."

Mata Fatimah terbungkam lagi. Ah. Aku tahu dia mahu menembak alasan aku. Oh sungguh tidak berlapang dada dia.

"Maaf ya. Saya ada kelas lagi selepas ini. Minta diri dahulu." Aku hanya senyum kepada Fatimah. Leman turut bangun kerana dia sekelas dengan aku.

Leman hanya mengunjit bahunya tanda ikut sahaja.

Keluar sahaja dari pintu bilik mesyuarat terus aku berlari ke tandas. Aku memandang cermin. Aku membasuh muka sambil menggelengkan kepala. Jika aku lama di situ, habis hati aku ini.

"Kenapa kau ni Amirul?"

"Aku rasa aku sudah jatuh hati pada singa."

"Ha!?"

Kemudian aku lihat Leman ketawa terbahak-bahak. "Biar betul kau ni."

Aku diam. Eh apa yang aku cakap ini?

"Dah. Jom pergi ke kuliah. Nanti marah Dr. Rosli."

Jumaat, 23 Ogos 2013

Persimpangan Persahabatan

Aku membelek beberapa helaian kertas di meja. Masih tidak dapat memikirkan hal-hal yang telah berlaku. Sinbad sudah lama jauh pergi meninggalkan aku. Dia walaupun begitu tidak bersemangat, namun setiap apa yang dia tulis pasti mendapat sambutan hangat rakyat Odesi.

Aku diam memikirkan bagaimana harus aku mengejarnya. Sungguh cepat dia berlari. Aku hanya berjalan kaki, dia pula menaiki kereta kuda.

Aku memegang batang pena bulu ayam ini. Berfikir sekeras mungkin bagaimana harus aku menulis. Apakah harus aku tulis? Dan paling penting sekali mengapa aku harus menulis?

Ahhh!

Aku harus turut mengejar Sinbad. Dia boleh sahaja duduk diam tanpa menulis. Namun kenapa dia terus menulis dan nukilannya itu terus mendapat sambutan?

Aku kelu. Entah berapa kali telah aku pandang kertas di atas meja ini. Buatan dari negara Timur memang molek. Lembut. Orang kata jika nak menulis perlukan benda berkualiti.

Telah aku beli pena dan kertas berkualiti. Telah aku saktikan diri aku dengan air simbahan sami di sudut Tokong Garuda.

Jauh sungguh aku melihat agaknya.

Mata aku tak tahan menahan rebahan malam yang datang. Aku... aku... biarlah aku tidur sementara ilham mendatang.

--

"Sinbad! Sinbad! Di mana kau? Mengapa aku tinggalkan aku?" aku menjerit sekuat hati di pantaian putih ini.

Aku lihat kelibat lelaki berpakaian putih. Di atasnya terdapat topi berbentuk bulat.

"Sinbad, adakah kau itu? Kenapa aku memakai pakaian lain dari biasa? Dimanakah tali pinggangmu yang berkilau itu?"

Lelaki itu terus berjalan, mengabaikan apa yang aku bicarakan.

Setiap kali aku menapak mendekatinya, setiap kali itu juga dia melangkah pergi. Ia seperti ada satu medan magnet yang menjauhi kami.

"Hei! Kenapa kau jauhkan diri daripada aku. Aku mahu mencari Sinbad! Kau tahu dimanakah dia?"

Aku hanya mampu melihat belakang lelaki itu. Aku geram. Aku mahu sahaja membaling batu ke kepalanya.

Aku meraba tanah. Hanya ada pasir putih di sini. Sungguh putih. Deruan ombak tidak mampu merindui aku kepada sahabat aku Sinbad.

"Pergilah. Engkau masih mencari lagi suara yang satu. Pasti, lingkaran api dapat kau padam. Hempasan ombak dapat kau tahani."

Suara itu bergemang di seluruh pantai. Aku memusing mencari puncanya. Aku terpana. Lelaki berjubah itu memandang aku.

"Eh? Bukankah kau..."

Dia hanya tersenyum. Seperti sedang meningkat naik ke atas awan lelaki itu dibawa pergi. Susuk wajah dan badannya mula samar.

Aku terus memandang, terjelopok di atas pasir jerlus ini.

Mata aku terbungkam luas. Aku bangun melihat sekeliling. Yang ada hanyalah kertas-kertas putih dari Andalusia bertaburan di atas meja. Sekeping kertas bercetak hitam putih di hadapan ku.

Pelita yang tadi memberi kecerahan telah selesai menjalankan tugasnya.

"Sinbad. Maafkan aku... semoga roh engkau diabadikan dengan baik."

Aku membuka laci meja, menyimpan keratan akhbar bertajuk 'Penulis Teragung, Sinbad, Mati tenggelam bersama kapal laut."

Sabtu, 17 Ogos 2013

Diktator

"Apa aku kisah." Aku bangun dan menuju ke tingkap.

"Amin, kau tak boleh begitu. Hati lelaki dan hati perempuan berbeza," kata Razali. Dia turut membontoti aku.

"Aku telah dipilih menjadi ketua, jadi perlulah ikut cara aku."

"Tetapi cara kau itu keras. Kau hanya tahu memerintah sahaja. Anak buah kau tertekan."

"Mana kau tahu? OK sahaja aku lihat."

Razali hanya menggelengkan kepala. Peristiwa ini baru sahaja berlaku. Semalam aku berperang besar dengan Syafinaz mengenai tugasan kerja yang kami dapat. Sebagai ketua kumpulan, aku tidak suka jika ada ahli yang membangkang.

Aku, Razali, Syafinaz, dan Edah membentuk kumpulan 2 dalam subjek pemasaran.

Oleh kerana muka aku kacak, aku dipertanggungjawab menjadi ketua. Ah aku tidak mahu semua ini. Aku lebih selesa menghadap laptop aku dari pagi sampai ke malam. Aku lebih suka bersendirian.

Namun, aku juga tak sanggup menanggung dosa atas aku lari daripada tanggungjawab. Telah aku berjanji kepada arwah ibu agar apabila diberi tanggungjawab, pegangnya sebaik mungkin.

Razali menggaru kepalanya. "Kau ni memang degil. Kau tahu tak Syafinaz mengadu kepada aku sambil teresak-esak kata kau kejam."

Aku terdiam. Eh? Takkan lah hanya memarahi di Facebook mampu mendatangkan kesan sampai begitu.

"Dia kata sebagai ketua kau patut mendengar dengan lebih baik."

Ah. Bagi aku dia terlalu beremosi. Terlalu mahu mengarah itu dan ini. Walhal aku ketuanya. Sudah dibincangkan apa yang akan kumpulan buat. Ini tidak. Masih mahu berbahas dan tukar tajuk di minit akhir.

Memang pantang keturunan Jawa aku membenarkan orang melangkah arahan.

"Aku hanya menjalankan tanggungjawab aku sebagai ketua." Aku kembali ke meja belajar.

Terasa angin di tingkap mendayu di kulit aku.

"Jangan kau jadi diktator seperti di Mesir sudahlah." Razali bangun meninggalkan aku keseorang di bilik.

Mesir? Kenapa pula dengan Mesir? Apa kaitan aku dengan Mesir?

Ah si Razali ini. Tak habis habis dengan kiasan mendalamnya. Suka sangat memperlu aku tanpa sebab. Kata sahaja geng surau. Cakap selalu berlapik. Tapi makan dalam!

Aku membelek Facebook. Tiada apa yang menarik. Semua orang seperti kisah dengan kisah Mesir. Gelojak rakyat yang memberontak menentang pemerintah.

Bukankah itu kuasa pemerintah mengawal mereka yang hanya tahu bising?

Eh? Razali keluar status. Tidak biasa aku baca statusnya. Jarang sekali dia keluar status.

"Mesir telah berzaman ditakluki oleh Firaun. Jatuhnya Hosni Mubarak, naiknya pemimpin Islam, kini disanggah oleh pula si Firaun As-Sisi."

Erk? Aku tak faham. Malas layan.

Khamis, 1 Ogos 2013

Bidadari Burung


Aku kini faham mengapa perlu membaca karya berkualiti agar penulis dapat menulis juga karya berkualiti. Aku ini masih lagi dikategori sebagai penulis baharu.

Apa-apa artikel atau cerpen aku masih tidak terbit pun di mana-mana penerbitan. Setakat ini hanya terbit di blog yang entah apa ini. Heh.

Apabila menulis cerpen, aku lebih suka menulis bagai aku menyampaikan informasi. Apabila aku telusuri semula cerpen yang telah aku tulis sebelum ini, ibu peri adalah antara cerpen yang aku minat.

Ia ringkas tetapi padat.

Oh balik kepada tajuk asal, perbincangan buku ini.

S.M Zakir memang seperti apa yang diulas oleh Datuk Haji Termuzi di kulit belakang buku ini, "menerokai dunia falsafah dan sufisme,..."

Aku lihat beliau dapat menyampai ideanya jelas dengan salur galur cerita. Penulis mampu mengaitkan sesuatu suasana dengan satu falsafah. Contohnya dalam cerpen Bidadari Burung.

Digambarkan burung itu sebagai lambang kebebasan. Di sini penulis menerangkan bahawa unsur liberal mula meresap masuk. Yang mendokongnya pula adalah pemuda-pemudi kampung yang dangkal membuta tuli mengikut ideologi itu tanpa berfikir lebih.

Ada juga diterangkan unsur-unsur yang ada dalam budaya orang Melayu. Hebat. Falsafah diukir dengan baik oleh beliau. Aku terpesona dengan kisah mistik yang disampaikan olehnya. Beliau tidak melihat sesuatu kisah mistik itu sebagai seram tetapi lebih kepada budaya setempat Melayu.

Pengarah muda yang dangkal terlalu mengejar kemasyuran sampai lupa mengapa orang Melayu begitu rapat dengan perkara-perkara mistik.

Jelas, cerpen-cerpen yang terkumpul dalam buku ini memang menggugah rasa dan emosi aku.