Rabu, 28 Ogos 2013

Serangan machine gun

Aku diam sahaja. Aku tahu jika aku membuka mulut di saat ini pasti Fatimah akan membalas dengan pelbagai leteran lagi. Aku terus terang tak suka mendengarnya.

Aku sebagai ketua patut tahu apa aku buat. Aku buat semua ini bukan sahaja sahaja. Aku buat kerana ada sebab. Masakan tidak. Tulisan yang mereka hantar tidak sedap langsung untuk dibaca. Langsung tidak melambangkan apa-apa.

"Tetapi tugas kamu hanya membetulkan mana yang patut!" terus dia berleter.

Aku hanya mengangguk diam. Tetap tidak mahu berkata apa.

Tugas editor ini bukan mudah. Itulah aku namakan dilema editor. Penulis banyak berfikir mereka ini seratus peratus tepat. Semua yang mereka buat betul sahaja. Semua yang mereka tulis ada benarnya.

Tetapi mereka lupa sesuatu, aku pula yang perlu sunting tulisan mereka tahu ke mana tulisan ini akan pergi. Lagipun desgin yang Fatimah reka tidak pun aku ubah 100%. Aku hanya mengubah isi dan bentuk tulisan.

Nak aku komen? Ya aku boleh sahaja komen isi-isinya tidak menepati cita rasa aku sebagai penulis. Apatah lagi tiada format yang betul. Kejap huruf besar. Kemudian huruf kecil. Tak bertempat penulisannya. Ini bukan esei kanak-kanak. Kita perlu tampak profesional.

Aku suka cara dia berterus-terang. Tetapi bagi aku, berterus-terang ada adabnya. Bukan pakai main terjah sahaja. Jika tak, boleh rosak sesuatu organisasi.

Macam aku. Jika aku tak puas hati, memang ikutkan hati terus terang sahaja aku kata Fatimah ini terlalu sibuk membuat perkara yang tak perlu. Lagi, suka mengarah itu ini. Bagi aku dia tidak ada adab dalam menghormati orang atasannya.

Oh. Ini juga buat aku faham bagaimana orang atas rasa jika kita terlalu menekan mereka. Hei. Perlu ingat juga orang atas ada ego. Dan itulah yang aku rasakan sekarang. Ego seorang pemimpin.

Aku menarik nafas sedalamnya. Aku hanya mampu melemparkan senyuman manis kepada Fatimah. Dia masih lagi dengan muka marahnya itu.

Ah. Kelihatan manis pula si dia ini. Terus aku memandang ke arah Leman pula yang sedang sibuk menulis apa entah aku pun tak tahu. Leman tersengih apabila memandang aku.

Aisyah dan Sakinah hanya mengangguk seakan setuju dengan tembakan Fatimah.

Aku tetap diam. Aku ada rasionalnya bertindak begitu.

SMS yang aku terima pun aku tidak balas. Aku terpaksa buat begitu. Jika aku terus melawan aku takut, hati aku ini jatuh pula.

Itu sudah membawa ke arah lain pula. Lebih baik aku diamkan sahaja. Terus, aku malas bicara panjang.

"Ya saya faham. Saya minta maaf. Belajar berlapang dada boleh? Saya sebagai seorang editor atas melakukan apa yang terbaik. Lagipun masa kita terhad. Jika nak tunggu penukaran itu dan ini, memakan masa."

Mata Fatimah terbungkam lagi. Ah. Aku tahu dia mahu menembak alasan aku. Oh sungguh tidak berlapang dada dia.

"Maaf ya. Saya ada kelas lagi selepas ini. Minta diri dahulu." Aku hanya senyum kepada Fatimah. Leman turut bangun kerana dia sekelas dengan aku.

Leman hanya mengunjit bahunya tanda ikut sahaja.

Keluar sahaja dari pintu bilik mesyuarat terus aku berlari ke tandas. Aku memandang cermin. Aku membasuh muka sambil menggelengkan kepala. Jika aku lama di situ, habis hati aku ini.

"Kenapa kau ni Amirul?"

"Aku rasa aku sudah jatuh hati pada singa."

"Ha!?"

Kemudian aku lihat Leman ketawa terbahak-bahak. "Biar betul kau ni."

Aku diam. Eh apa yang aku cakap ini?

"Dah. Jom pergi ke kuliah. Nanti marah Dr. Rosli."

0 comments:

Catat Ulasan