Sabtu, 17 Ogos 2013

Diktator

"Apa aku kisah." Aku bangun dan menuju ke tingkap.

"Amin, kau tak boleh begitu. Hati lelaki dan hati perempuan berbeza," kata Razali. Dia turut membontoti aku.

"Aku telah dipilih menjadi ketua, jadi perlulah ikut cara aku."

"Tetapi cara kau itu keras. Kau hanya tahu memerintah sahaja. Anak buah kau tertekan."

"Mana kau tahu? OK sahaja aku lihat."

Razali hanya menggelengkan kepala. Peristiwa ini baru sahaja berlaku. Semalam aku berperang besar dengan Syafinaz mengenai tugasan kerja yang kami dapat. Sebagai ketua kumpulan, aku tidak suka jika ada ahli yang membangkang.

Aku, Razali, Syafinaz, dan Edah membentuk kumpulan 2 dalam subjek pemasaran.

Oleh kerana muka aku kacak, aku dipertanggungjawab menjadi ketua. Ah aku tidak mahu semua ini. Aku lebih selesa menghadap laptop aku dari pagi sampai ke malam. Aku lebih suka bersendirian.

Namun, aku juga tak sanggup menanggung dosa atas aku lari daripada tanggungjawab. Telah aku berjanji kepada arwah ibu agar apabila diberi tanggungjawab, pegangnya sebaik mungkin.

Razali menggaru kepalanya. "Kau ni memang degil. Kau tahu tak Syafinaz mengadu kepada aku sambil teresak-esak kata kau kejam."

Aku terdiam. Eh? Takkan lah hanya memarahi di Facebook mampu mendatangkan kesan sampai begitu.

"Dia kata sebagai ketua kau patut mendengar dengan lebih baik."

Ah. Bagi aku dia terlalu beremosi. Terlalu mahu mengarah itu dan ini. Walhal aku ketuanya. Sudah dibincangkan apa yang akan kumpulan buat. Ini tidak. Masih mahu berbahas dan tukar tajuk di minit akhir.

Memang pantang keturunan Jawa aku membenarkan orang melangkah arahan.

"Aku hanya menjalankan tanggungjawab aku sebagai ketua." Aku kembali ke meja belajar.

Terasa angin di tingkap mendayu di kulit aku.

"Jangan kau jadi diktator seperti di Mesir sudahlah." Razali bangun meninggalkan aku keseorang di bilik.

Mesir? Kenapa pula dengan Mesir? Apa kaitan aku dengan Mesir?

Ah si Razali ini. Tak habis habis dengan kiasan mendalamnya. Suka sangat memperlu aku tanpa sebab. Kata sahaja geng surau. Cakap selalu berlapik. Tapi makan dalam!

Aku membelek Facebook. Tiada apa yang menarik. Semua orang seperti kisah dengan kisah Mesir. Gelojak rakyat yang memberontak menentang pemerintah.

Bukankah itu kuasa pemerintah mengawal mereka yang hanya tahu bising?

Eh? Razali keluar status. Tidak biasa aku baca statusnya. Jarang sekali dia keluar status.

"Mesir telah berzaman ditakluki oleh Firaun. Jatuhnya Hosni Mubarak, naiknya pemimpin Islam, kini disanggah oleh pula si Firaun As-Sisi."

Erk? Aku tak faham. Malas layan.

0 comments:

Catat Ulasan